Ahad, 20 September 2015

10 adab menuntut ilmu.

10 ADAB MENUNTUT ILMU 

1. Bina niat yang baik-baik.

Sebelum menuntut ilmu, sila pasangkan niat yang baik. Tujuan kita menuntut ilmu adalah bertujuan untuk menyampaikan yang baik-baik kepada diri dan orang sekeliling. Dan kita perlu ingat setiap amalan itu perlu dimulai dengan niat.

2. Bersedia dan Kemas diri.

Ilmu akan mudah lekat jika kita bersedia untuknya. Jika di dalam kelas, sebelum guru masuk seeloknya kita bersedia dengan segala alatan dan keperluan untuk subjek masa tersebut. Dan pastikan jangan ada alatan lain yang boleh mengganggu fokus kita di dalam kelas. Kemas diri juga penting sebab, ia akan mudah membawa ilmu kepada kita. Contohnya, jika kawan kita mahu tolong kita dalam subjek yang kita tidak tahu tetapi penampilan kita selekeh dan badan berbau busuk, kawan kita akan jadi tidak selesa dan kurang minat untuk beri pengajaran pada kita, Jadi, sapukan minyak wangi banyak-banyaknya, sebab Rasullah suka wangian.


3. Fokus dan hormat pada pemberi ilmu.

Ini yang banyak kita mudah lupa. Lupa pada pemberi ilmu kita yang terutama iaitu ALLAH. Jangan kita lupa untuk bersyukur dan berterima kasih pada Allah yang pertama. Seterusnya pada kedua ibu bapa kita yang menjadi guru pertama pada anda dan seterusnya guru kita. Tidak kiralah guru rasmi atau pun guru tidak rasmi(kawan sekelas). Hormatlah mereka kerana doa guru itu mustajab. Jika kita mudahkan mereka, maka mudahlah mereka untuk mendoakan kita.

4. Bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.

Bersungguhlah dalam mencari ilmu. Jangan seperti melepaskan batuk di tangga. Macam nak tak nak je menuntut ilmu. Walaupun pada pelajaran yang kita tidak suka. Berilah tumpuan, kerana pasti satu hari nanti, kita akan gunakan apa yang kita pelajari itu.

5. Menjauhi diri dari maksiat dan dosa.

Ini penting sebab, jika kita mahu keberkatan ilmu itu terus kekal di dalam diri kita, jauhilah diri kita dari melakukan maksiat. Setiap perbuatan maksiat yang kita lakukan menyebabkan satu titik hitam ada pada hati kita. Jika wujudnya titik hitam ini, maka susahlah ilmu nak lekat pada hati kita. Maksiat bukan berzina je, mengumpat, mencarut, ejek kawan, usik kawan semasa belajar, tinggal solat, makan tidak bayar dan segala perbuatan negatif adalah maksiat. Ingat tu!!!

6. Sentiasa berdoa kepada Allah.

Berdoalah kepada Allah untuk meminjamkan kita ilmu Allah ini. Jangan lupa ilmu yang kita dapat ini hanyalah seperti setitik air pada jarum yang diangkat dari lautan yang terbentang luas. Kerdilkan diri kita?



7. Memilih teman yang hendak belajar.

Jangan salah memilih teman. Pilihlah teman yang boleh menjadikan kita berjaya. Jangan hanya memilih teman yang ada masa untuk berseronok sahaja kerana masa kita bukan untuk berseronok sahaja. Teman yang baik boleh membawa kita kepada kejayaan yang lebih baik.

8. Banyakkan berzikir dan memuji Allah.

Berzikirlah sentiasa. Semasa kita menuntut ilmu, pastikan zikir sentiasa di dalam minda kita. Biar terbuka hati kita untuk menerima ilmu ini.

9. Kejarlah ilmu, bukan ilmu yang kejar anda.

Ya, kejarlah ilmu. Pergilah mencari ilmu. Ilmu tidak datang sendiri. Percayalah, semakin kita kejar ilmu, semakin kita tahu bahawa ilmu Allah ini luas dan betapa tawaduqnya kita dalam menuntut ilmu.

10. Ajarkanlah ilmu yang kita perolehi.

Ajarkanlah walaupun sepotong ayat. Itulah yang diajar oleh Allah kepada kita. Sampaikanlah ilmu walaupun sedikit. Jangan kedekut kerana, setiap apa yang kita sampaikan akan menjadikan kita lebih memahami ilmu yang kita belajar. Malah kita juga bantu sahabat kita untuk berjaya sesama kita. Jangan kita lupa, apa yang kita ada hanyalah pinjaman Allah sahaja.


Inilah sebahagian adab yang cikgu rasa penting dalam diri kita. Jadilah orang yang CEMERLANG, KEJAYAAN pasti bersama kamu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...